Wednesday, May 14, 2008

Kursus Penulisan Blog

Ledakan teknologi maklumat telah mewarnai dunia penulisan pada masa kini sehingga mencetuskan pelbagai polimik, kontroversi dan juga mampu menggugat keselamatan individu serta negara. Hanya kerana tulisan, boleh mengundang rasa tidak puas hati dan kurang senang serta adakalanya karya penulisan itu menyetuh hak dan peribadi seseorang.
Cetusan idea pihak UiTM untuk mengadakan kursus penulisan blog di bawah fakulti komunikasi dilihat sebagai satu wadah baru dalam melahirkan kelompok bloggers yang mempunyai etika serta memahami konsep penulisan dari segi kupasan isu yang ditulis agar hasil karya yang dihasilkan mempunyai kualiti setanding dengan kuantiti bloggers yang semakin ramai dilahirkan. Adalah menjadi harapan kepada saya, selaku penulis picisan blog yang cetek ilmunya ini dapat turut serta di dalam kursus sebegini.


Cik Ida :- Teringin jadi wartawan penyiaranan

Tawar Menawar Parti Pembangkang

Setelah selesai PRU ke 12 yang menampakkan perubahan tampuk pemerintahan di beberapa buah negeri yang ditawan dengan penuh gah oleh pihak pembangkang, dan juga kehadiran suara pembangkang yang bertambah di parlimen, kini pakatan pembangkang mengorak langkah memasang angan-angan untuk memerintah negara. Keghairahan mereka untuk menjadi pemerintah kepada negara telah membuatkan mereka hanyut sehingga sanggup memujuk ahli BN untuk menyertai mereka.
Sebelum ini, di Pulau Pinang, YB Ariff Shah Omar Shah, ADUN Seberang Jaya juga telah ditawarkan untuk menyertai mereka, tetapi di tolak mentah-mentah oleh beliau dan baru-baru ini saya mendapat khabar angin mengatakan pada 14 Mei seramai 17 orang ahli parlimen BN akan berhijrah ke pakatan pembangkang. Pagi ini setelah saya membaca akhbar Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Kota Belud, Y.B Datuk Abdul Rahman Dahlan telah membuat pengakuan bahawa dia ditawarkan sejumlah besar wang sekiranya beliau sudi mengikut menyertai pakatan pembangkang. Tidak cukup dengan wang, beliau juga disogokkan dengan janji akan berada dalam barisan kabinet sekiranya menyertai mereka. Ini sebahagian daripada ahli BN yang tampil membuat pendedahan, tapi Cik Ida yakin ramai lagi pemimpin BN cuba di hasut oleh mereka ini. Lumrah manusia, kita tidak akan berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Samalah juga dengan gelagat pakatan pembangkang ini. Tidak cukup dengan betis, peha pula yang ingin dicita.
Cik Ida mula terfikir, selama ini, orang-orang inilah yang melaungkan bahawa UMNO dan BN adalah pengasas kepada gejala rasuah di negara kita, tetapi kini mereka sanggup menawarkan apa sahaja kepada pemimpin BN agar mereka dapat mencapai hasrat mereka. Terngiang-ngiang di telinga Cik Ida mendengar laungan DSAI yang menolak rasuah, kronisme, begitu juga dengan kalimah Amal Maaruf Nahi Mungkar dari pemimpin parti politik yang berteraskan Islam. Tetapi apabila wujudnya insiden tawar menawar, pujuk memujuk untuk melompat parti di dalam golongan mereka, tidakkan ini disifatkan sebahagian daripada rasuah? Apakah motif tindakan mereka ini? Adakah kerana jihad untuk mentadbir negara dengan sebaik mungkin atau untuk kepentingan diri dan gilakan kuasa.
Bagi Cik Ida, pakatan pembangkang jangan terlalu sukacita dengan perubahan angin rakyat di dalam PRU ke12, sehinggakan mereka menyifatkan mereka telah menang besar. Berpijak di bumi yang nyata, jangan terlalu gilakan kuasa sehinggakan boleh mengakibatkan maruah dan jati diri tercalar dan tergadai. Terkesan di hati Cik Ida melihat apabila institusi di raja diperkotak-katikkan oleh seorang yang bukan Melayu malahan tidak mempunyai sebarang kepentingan di negeri Perak sedangkan Menteri Besar nya yang juga seorang Melayu hanya mampu berdiam diri melihat kedaulatan Melayu sebagai Raja di negara ini dipersendakan. Apatah lagi hal yang dipertikaikan pula adalah berkenaan jawatan institusi agama Islam. Andai kata di peringkat negeri telah berlaku kucar kacir setelah mereka memegang jawatan yang hanya baru berusia lebih kurang 3 bulan, adakah pakatan pembangkang mampu mentadbir negara ini?
Ketaksuban untuk menjadi seorang yang berkuasa telah menjadikan kita lupa sehingga menjejaskan keharmonian yang telah terpelihara sekian lama. Bagi Cik Ida, sekiranya hari ini, pihak pembangkang sanggup dan mampu membeli sesama kita demi kepentingan diri dan gilakan kuasa, tidak mustahil sekiranya pakatan pembangkang memerintah negara, kegilaan terhadap kuasa dan kepentingan diri membolehkan mereka menjual negara kita. Jangan nanti pembangkang menjadi seperti menang sorak, kampung tergadai.
Wang dan kuasa bukanlah ukuran kepada kesetiaan dan jati diri setiap individu, tapi yang penting kepercayaan rakyat kepada kita untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Di sinilah letaknya nilai ahli BN yang langsung tidak berganjak hanya kerana pujukan dan sogokan yang Cik Ida andaikan tidak ubah seperti angan-angan mat jenin. Sekiranya pihak pembangkang terus dengan amalan sebegini, ternyata mereka ini telah membeli kepercayaan rakyat terhadap pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan semestinya bagi Cik Ida, mereka ini tidak mampu menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang Aman, Makmur dan Selamat.